Sultan Mizan Zainal Abidin

Sultan Terengganu

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah (Jawi: الواثق بالله سلطان ميزان زين العابدين ابن المرحوم سلطان محمود المکتفي بالله شاه; diputerakan pada 22 Januari 1962) ialah Sultan Terengganu yang ke-18. Baginda mula menaiki takhta pada tahun 1998, selepas kemangkatan ayahanda baginda yang juga merupakan Sultan sebelumnya, Sultan Mahmud al-Muktafi Billah Shah. Baginda juga ialah Yang di-Pertuan Agong ke-13 yang memerintah dari 13 Disember 2006 hingga 12 Disember 2011.

Sultan Mizan Zainal Abidin
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu
Sultan Mizan pada 2010
Sultan Terengganu ke-18
Pemerintahan15 Mei 1998 - kini
Kemahkotaan4 Mac 1999
Didahului olehSultan Mahmud al-Muktafi Billah Shah
Pewaris takhtaTengku Muhammad Ismail (Yang di-Pertuan Muda)
Yang di-Pertuan Agong Malaysia ke-13
Pemerintahan13 Disember 2006 – 12 Disember 2011
Pertabalan26 April 2007
Didahului olehTuanku Syed Sirajuddin Jamalullail
Diikuti olehSultan Abdul Halim Mu’adzam Shah
Timbalan Yang di-Pertuan Agong
Tempoh26 April 1999 - 12 Disember 2006
Didahului olehSultan Salahuddin Abdul Aziz Shah
Diikuti olehSultan Abdul Halim Mu’adzam Shah
KeputeraanTengku Mizan Zainal Abidin bin Tengku Mahmud
(1962-01-22) 22 Januari 1962 (umur 64)
Istana Al-Muktafi Billah Shah, Kuala Terengganu, Terengganu, Persekutuan Tanah Melayu
PasanganSultanah Nur Zahirah (k. 1996)
Anakanda
AyahandaSultan Mahmud al-Muktafi Billah Shah ibni Sultan Ismail Nasiruddin Shah
BondaFatimah @ Sharifah Nong binti Abdillah Alsagoff
AgamaIslam Sunni
Kerjaya ketenteraan
PerkhidmatanTentera Darat Malaysia
PangkatFil Marsyal
UnitKor Armor Diraja
Sultan Mizan Zainal Abidin
Rekod pingat
Ekuestrian
Mewakili Malaysia
Sukan SEA
Pingat emas – tempat pertama 2017 Kuala LumpurEndurance individu
Pingat emas – tempat pertama 2017 Kuala LumpurEndurance berpasukan

Baginda merupakan putera sulung daripada tujuh anakanda kepada Sultan Mahmud al-Muktafi Billah Shah dan Tengku Besar Fatimah Sharifah Nong Alsagoff binti Abdillah.

Kehidupan awal

sunting

Sultan Mizan Zainal Abidin telah diputerakan pada 22 Januari 1962 di Istana Al-Muktafi, Kuala Terengganu, ibu negeri Terengganu. Baginda merupakan putera sulung kepada Sultan Mahmud al-Muktafi Billah Shah dengan isteri keduanya Sharifah Nong Fatimah Alsagoff binti Abdillah. Bonda baginda berasal dari keluarga berketurunan Arab, iaitu dari Sayid Omar Aljunied (moyang sebelah ibunya) yang merupakan antara tokoh moden Singapura.

Baginda mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Sultan Sulaiman dari tahun 1968 hingga tahun 1973 dan kemudiannya di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman dari tahun 1974 hingga 1978. Baginda kemudiannya melanjutkan pelajaran di luar negara, iaitu di Geelong Grammar School di Geelong, Australia pada 5 Februari 1979.[1] Pada tahun 1988, baginda menamatkan pengajiannya di Universiti Antarabangsa Amerika Syarikat-Eropah (kini dikenali sebagai Universiti Antarabangsa Alliant) di London, memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam bidang pengkhususan Hubungan Antarabangsa pada 9 Jun 1988.

Baginda telah melibatkan diri dengan kursus ketenteraan PRE SMC (E) 33 di Army School of Languages daripada 1982 hingga 1983, dan kemudiannya menghadiri kursus ketenteraan SMC 33 di Akademi Tentera Diraja Sandhurst di England daripada 3 Mei 1983, lalu menamatkan kursus Pegawai Kadet pada 9 Disember 1983. Baginda juga telah dikomisyenkan pangkat Leftenan pada 1 Mac 1984 dan telah berkhidmat di Askar Berkuda DiRaja.

Pekerjaan awal

sunting

Pada 1981, Sultan Mizan Zainal Abidin pernah dilantik sebagai Penolong Pemungut Levi Tanah, berkhidmat selama setahun di Pejabat Daerah dan Tanah di Kuala Terengganu, sebelum berangkat ke England bagi menjalani kursus ketenteraan. Pada 1988, baginda telah dilantik sebagai Pegawai Tadbir Negeri di Unit Perancangan Ekonomi Negeri di Wisma Darul Iman. Pada masa yang sama, baginda juga telah berkhidmat sementara sebagai Penolong Pegawai Tanah Daerah di Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Terengganu.

Perkahwinan

sunting

Sultan Mizan Zainal Abidin telah berkahwin dengan Sultanah Nur Zahirah di Istana Maziah pada 28 Mac 1996 ketika berusia 34 tahun. Sultanah Nur Zahirah merupakan seorang rakyat biasa dan dilahirkan di Alor Setar, Kedah dengan nama Rozita binti Adil Bakeri. Baginda berdua dikurniakan empat orang anakanda, terdiri daripada dua putera dan dua puteri.

Anakanda kepada baginda berdua ialah;

  • Tengku Nadhirah Zaharah (diputerakan pada 18 Disember 1996)
  • Tengku Muhammad Ismail (diputerakan pada 1 Mac 1998)
  • Tengku Muhammad Mua’az (diputerakan pada 22 Disember 2000)
  • Tengku Fatimatuz Zahra’ (diputerakan pada 19 April 2002)

Pemerintahan Terengganu

sunting

Pewaris takhta

sunting

Sultan Mizan Zainal Abidin telah dilantik sebagai Yang di-Pertuan Muda (pewaris takhta) pada 6 November 1979. Baginda juga pernah dilantik sebagai Pemangku Raja pada 20 Jun 1986 dan kali keduanya dari 20 Oktober hingga 8 November 1990.

Sultan Terengganu

sunting

Pada 15 Mei 1998, Sultan Mizan Zainal Abidin telah dimasyhurkan sebagai Sultan Terengganu setelah kematian ayahanda baginda, Sultan Mahmud al-Muktafi Billah Shah. Istiadat kemahkotaan diadakan pada 4 Mac 1999 di Istana Maziah, Kuala Terengganu. Baginda menjadi Sultan termuda yang menaiki takhta antara kesemua negeri Malaysia pada ketika itu.

Sepanjang pemerintahan baginda sebagai Sultan Terengganu, baginda telah dilantik sebagai Canselor pertama Kolej Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (kemudiannya dikenali sebagai Universiti Malaysia Terengganu, UMT) dari tahun 2001 hingga 2006. Satu krisis politik dalam kerajaan negeri Terengganu juga pernah terjadi sewaktu pemerintahan baginda, iaitu pada tahun 2008 yang melibatkan krisis pelantikan Menteri Besar. Sewaktu pilihan raya umum 2008, Barisan Nasional telah memenangi dua pertiga kerusi di Dewan Undangan Negeri Terengganu. Dalam pembentukan kerajaan Terengganu yang baharu, kerajaan Persekutuan di bawah Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi telah mencadangkan Idris Jusoh sebagai Menteri Besar, yang mendapat sokongan majoriti ahli Barisan Nasional yang dipilih. Namun, Pejabat Sultan telah mengumumkan pelantikan Ahmad Said sebagai Menteri Besar, kerana ia merupakan hak perlembagaan Sultan.[2]

Perdana Menteri menuduh bahawa pelantikan Ahmad Said tidak berpelembagaan kerana ia bertentangan dengan kehendak ahli Dewan dan pejabat Perdana Menteri. Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi seterusnya menghadap Sultan Mizan di Istana Negara yang ketika itu sedang berkhidmat sebagai Yang di-Pertuan Agong. Perdana Menteri akhirnya bersetuju dengan pelantikan Ahmad Said sebagai Menteri Besar dan memohon ampun kepada baginda atas pertikaian yang terjadi, serta menjelaskan bahawa tiada niat untuk menderhaka dan memperlekeh institusi diraja.[2]

Pada tahun 2014, sebuah istana baharu bagi Kesultanan Terengganu telah siap dibina, iaitu Istana Syarqiyyah. Istana yang dibina di Bukit Chendering ini dijadikan istana utama Sultan Terengganu dan menempatkan segala istiadat rasmi dan persemayaman utama bagi keluarga diraja Terengganu.

Timbalan Yang di-Pertuan Agong

sunting

Sultan Mizan Zainal Abidin telah dilantik secara rasminya sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong pada 26 April 1999 selepas Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Sultan Selangor dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong yang ke-11 oleh Majlis Raja-Raja. Berikutan kegeringan dan kemangkatan Sultan Salahuddin, baginda telah berkhidmat sebagai Pemangku Yang di-Pertuan Agong pada 8 Oktober hingga 12 Disember 2001.

Atas dasar kerjasama dan permuafakatan Majlis Raja-Raja Melayu, Sultan Mizan bersetuju untuk kembali menduduki kerusi Timbalan Yang di-Pertuan Agong pada 13 Disember 2001 selepas Persidangan Majlis Raja-Raja sebulat suara melantik Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Raja Perlis sebagai Yang di-Pertuan Agong yang ke-12.

Yang di-Pertuan Agong

sunting

Pada 3 November 2006, Tuanku Mizan telah dipilih untuk menduduki takhta Yang di-Pertuan Agong oleh Majlis Raja-Raja selama lima tahun, bermula 13 Disember 2006 dan berakhir pada 12 Disember 2011. Persidangan Majlis Raja-Raja pada ketika itu dipengerusikan oleh Sultan Abdul Halim, Sultan Kedah yang juga merangkap sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong. Baginda sebenarnya telah diletakkan sebagai orang keempat dalam kitaran Sembilan Raja-Raja Melayu yang kedua, yang secara lazimnya pemilihan Yang di-Pertuan Agong adalah mengikut hukum kitaran ini. Namun, pemilihan Raja-Raja lain dalam negeri-negeri Melayu untuk menjawat jawatan Yang di-Pertuan Agong ini masih boleh dibincangkan. Mengikut hukum kitaran, setiap Raja-Raja Melayu yang dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong hanya boleh memerintah Malaysia selama lima tahun, dan inilah membuatkan Malaysia sebagai sebuah negara mengamalkan konsep Raja Berpelembagaan yang unik.

Pada 26 April 2007, Tuanku Mizan secara rasminya ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, Jalan Istana.[3][4] Baginda merupakan Yang di-Pertuan Agong yang terakhir ditabalkan dan bersemayam di Istana Negara lama, sebelum dipindahkan ke Istana Negara baharu yang mula digunakan pada 2011. Baginda yang berusia 44 tahun ketika ditabalkan, ialah Yang di-Pertuan Agong yang ketiga termuda yang dilantik selepas Tuanku Syed Putra Jamalullail, Raja Perlis dan Tuanku Abdul Halim sebagai Sultan Kedah yang kedua-duanya mula dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong pada umur 40 dan 43. Baginda juga merupakan Raja Melayu pertama yang dilahirkan selepas kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957.

Sebagai Ketua Negara Malaysia, Tuanku Mizan banyak mengadakan majlis rasmi dan lawatan kerja. Antaranya, baginda telah bersemuka dengan Presiden China, Hu Jintao[5] ketika Sukan Olimpik 2008[6], mengadakan lawatan ke Pusat Kajian Saintifik Antartika [7] dan menghadiri Perkahwinan Diraja Putera William dan Kate Middleton di London, England.[8]

Pada 12 dan 13 Oktober 2011, Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang ke-225 telah memutuskan bahawa Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah bakal menggantikan Tuanku Mizan sebagai Yang di-Pertuan Agong yang ke-14 mulai 13 Disember 2011.[9]

Demi meraikan berakhirnya pemerintahan baginda, Tuanku Mizan bersama Tuanku Nur Zahirah berkenan untuk berangkat menghadiri majlis santapan menjunjung kasih sempena tamat tempoh pemerintahan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13, di Istana Negara pada 10 Disember 2011. Turut hadir ialah bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad yang diiringi isteri, Siti Hasmah Mohd Ali, dan Abdullah Ahmad Badawi serta isteri Jeanne Abdullah[10]. Istiadat Keberangkatan Balik Tuanku Mizan dari Istana Negara, Jalan Duta, Kuala Lumpur ke Istana Maziah, Kuala Terengganu juga disiarkan secara lintas langsung di RTM pada 12 Disember 2011.

Sukan dan hobi

sunting

Baginda sememangnya meminati sukan berkuda dari dulu lagi dan baginda sendiri telah mangadakan pertandingan berkuda tahunan di Malaysia dan pertandingan itu di sertai oleh pelbagai atlet berkuda dari segenap pelusuk negara terutamanya dari negara-negara Eropah. Baginda sememangnya meminati sukan berkuda dan menyukai makanan barat kerana baginda amat menitik beratkan soal pemakanan baginda.

Pembedahan lutut

sunting

Baginda telah mengalami kecederaan di lutut dan terpaksa menggunakan tongkat semasa Istiadat pemakaman Sultan Iskandar Johor pada 23 Januari 2010. Pada 24 Januari 2010, baginda berangkat ke Munich, Jerman bagi menjalani rawatan fisioterapi di Medical Park, St Hubertus, Bad Wiessee. Rawatan pakar diketuai Prof Andreas B.Imhoff. Pegawai pengiring baginda ialah pakar perubatan Hospital Putrajaya, pakar ortopedik Hospital Selayang dan Hospital Kuala Lumpur serta seorang pakar perubatan sukan. Sepanjang tempoh keberangkatan Baginda, Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah yang juga Sultan Kedah akan menjalankan tugas-tugas rasmi Yang di-Pertuan Agong.

Terasul dan gelaran

sunting
Gaya bagi
Sultan Mizan Zainal Abidin
Rujukan gayaKebawah Duli Yang Maha Mulia
Gaya percakapanKebawah Duli Tuanku
Gaya alternatifTuanku
  • 22 Januari 1962 - 21 September 1979: Yang Mulia Tengku Mizan Zainal Abidin bin Tengku Mahmud
  • 21 September 1979 – 6 November 1979: Yang Amat Mulia Tengku Mizan Zainal Abidin ibni Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah
  • 6 November 1979 - 15 Mei 1998: Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mizan Zainal Abidin ibni Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, Yang di-Pertuan Muda Terengganu
  • 15 Mei 1998 - 26 April 1999: Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Mizan Zainal Abidin ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, Sultan Terengganu dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong
  • 26 April 1999 - 21 Oktober 2001: Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, Sultan Terengganu
  • 21 Oktober 2001 - 13 Disember 2001: Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, Sultan Terengganu dan Pemangku Yang di-Pertuan Agong
  • 13 Disember 2001 - 13 Disember 2006: Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, Sultan Terengganu
  • 13 Disember 2006 - 12 Disember 2011: Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah
  • 12 Disember 2011 - kini: Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, Sultan Terengganu

Lihat juga

sunting

Rujukan

sunting
  • Mohamed Anwar Omar Din, Nik Anuar Nik Mahmud dan Jawatankuasa Teknikal & Sidang Editor Yayasan DiRaja Sultan Mizan (2011). Dirgahayu Tuanku:Sejarah Kesultanan Terengganu 1708-2008. Yayasan DiRaja Sultan Mizan.

Nota kaki

sunting

Bacaan lanjut

sunting
Didahului oleh
Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail
(Raja Perlis)
Yang di-Pertuan Agong
(Sultan Terengganu)

2006-2011
Diikuti oleh:
Tuanku Abdul Halim
(Sultan Kedah)
Didahului oleh
Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah
Sultan Terengganu
1998-kini
Diikuti oleh:
Pemegang jawatan kini