Alan (Latin: Alani) merupakan satu kaum penggembala nomad Iran purba dari zaman pertengahan yang berhijrah ke kawasan yang kini dikenali sebagai Caucasus Utara;[1][2][3][4][5] sebahagian daripada mereka meneruskan perjalanan ke Eropah dan kemudian Afrika Utara. Mereka secara amnya dianggap sebagai sebahagian daripada Sarmatia, dan mungkin berkait dengan Massagetae.[6] Ahli sejarah moden telah menghubungkan orang Alan dengan Yancai Asia Tengah dalam sumber-sumber China dan dengan orang Aorsi dari sumber-sumber Rom.[7] Setelah berhijrah ke arah barat dan menjadi dominan dalam kalangan Sarmatia di steppe Pontic-Caspian, orang Alan disebut oleh sumber Rom pada abad pertama M.[1][2] Pada masa itu, mereka telah menetap di kawasan utara Laut Hitam dan sering menyerang Empayar Parthia dan wilayah-wilayah Caucasus Selatan Empayar Rom.[8] Dari 215 hingga 250 M, orang Goth mematahkan kuasa mereka di Steppe Pontic,[4] lalu mengasimilasikan sebahagian besar orang Alan di sana.

Alan
Alani
Peta menunjukkan penghijrahan orang Alan
Bahasa
Scythia, Alanik
Agama
Politeisme Rom, kemudian Arianisme (s. abad ke-5), dan Ortodoks Timur
Kumpulan etnik berkaitan
Orang Ossetia

Setelah Goth dikalahkan oleh orang Hun di Steppe Pontic sekitar tahun 375 M, ramai orang Alan berhijrah ke arah barat bersama pelbagai puak Germanik. Mereka menyeberangi Rhine pada tahun 406 M bersama-sama orang Vandal dan Suebi, menetap di Orléans dan Valence. Sekitar tahun 409 M, mereka menyertai orang Vandal dan Suebi menyeberangi Pyrenees ke Semenanjung Iberia, menetap di Lusitania dan Hispania Carthaginensis.[9] Orang Alan Iberia, dikalahkan teruk oleh Visigoth pada tahun 418 M, kemudiannya menyerahkan kuasa mereka kepada orang Vandal Hasdingi.[10] Pada tahun 428 M, Vandal dan Alan menyeberangi Selat Gibraltar ke Afrika Utara, di mana mereka mengasaskan sebuah kerajaan yang bertahan sehingga ditakluki oleh tentera Maharaja Byzantine Justinian I pada tahun 534.[10]

Akhirnya pada abad ke-9, orang Alan yang kekal di bawah pemerintahan Hun menubuhkan kerajaan Alania yang berkuasa di rantau Caucasus Utara. Ia bertahan sehingga diserang Mongol pada abad ke-13 M. Beberapa orang sarjana menganggap orang Alan ini sebagai nenek moyang orang Ossetia moden.[8][11]

Orang Alan bertutur dalam salah satu bahasa Iran Timur yang berasal dari Scytho-Sarmatia; seterusnya, bahasa tersebut berkembang menjadi bahasa Ossetia moden.[2][12][13] Nama Alan mewakili bentuk dialek Iran Timur bagi istilah Iran Purba Arya,[1][2][14] dan oleh itu ialah kognat dengan nama negara Īrān (daripada gen. jmk. *aryānām).[15]

 
Gereja Ortodoks di Ossetia Utara-Alania

Sebelum pengkristianan mereka, orang Alan merupakan politeis Indo-Iran, sama ada menganut agama Scythia yang kurang difahami atau satu bentuk politeistik Majusi. Sesetengah tradisi diwarisi secara langsung daripada orang Scythia, seperti mewujudkan dewa utama mereka dalam upacara-upacara yang rumit.[16]

Pada abad ke-4 – ke-5, orang Alan sekurang-kurangnya dikristiankan sebahagiannya oleh mubaligh Byzantine daripada mazhab Arianisme. Pada abad ke-13, gerombolan Mongol yang menyerang menolak orang Alan timur lebih jauh ke selatan ke Caucasus, di mana mereka bercampur dengan kelompok-kelompok Kaukasia asli dan secara berturut-turut membentuk tiga entiti wilayah, masing-masing berkembang dengan berbeza. Sekitar tahun 1395, tentera Timur menyerang Caucasus Utara dan membunuh sebahagian besar populasi Alan.

Seiring peredaran masa, Digor di barat berada di bawah pengaruh Kabard dan Islam. Melalui orang Kabard (suku Circassia Timur), Islam diperkenalkan ke wilayah tersebut pada abad ke-17. Selepas 1767, keseluruhan Alania jatuh di bawah pemerintahan Rusia, yang banyak mengukuhkan Kristian Ortodoks di wilayah itu. Sebilangan minoriti orang Ossetia hari ini penganut agama tradisional Ossetia, yang dihidupkan semula pada 1980-an sebagai Assianisme (Ossetia: Uatsdin = 'kepercayaan sebenar').[17]

Lihat juga

sunting

Rujukan

sunting

Petikan

sunting
  1. ^ a b c Golden 2009.
  2. ^ a b c d Abaev & Bailey 1985, m/s. 801–803.
  3. ^ Waldman & Mason 2006, halaman 12–14
  4. ^ a b Brzezinski & Mielczarek 2002, halaman 10–11
  5. ^ Zadneprovskiy 1994, halaman 467–468
  6. ^ Alemany 2000, m/s. 1.
  7. ^ Zadneprovskiy 1994, halaman 465–467
  8. ^ a b "Alani". Encyclopædia Britannica. 2015. Diarkibkan daripada yang asal pada 4 November 2013. Dicapai pada 1 Januari 2015.
  9. ^ "Spain: Visigothic Spain to c. 500". Encyclopædia Britannica. Encyclopædia Britannica, Inc. 2015. Dicapai pada 1 Januari 2015.
  10. ^ a b "Vandal". Encyclopædia Britannica. 2015. Dicapai pada 1 Januari 2015.
  11. ^ Shnirelman, Victor (2006). "The Politics of a Name: Between Consolidation and Separation in the Northern Caucasus" (PDF). Acta Slavica Iaponica. 23: 37–49.
  12. ^ Alemany 2000, m/s. 5–7.
  13. ^ Untuk etnogenesis, lihat Walter Pohl, "Conceptions of Ethnicity in Early Medieval Studies" dalam Debating the Middle Ages: Issues and Readings, ed. Lester K. Little and Barbara H. Rosenwein, Blackwell, 1998, ms. 13–24.
  14. ^ Alemany 2000, m/s. 1–5.
  15. ^ Abaev, V. I.; Bailey, H. W. (26 Ogos 2020), "Alans", Encyclopædia Iranica (dalam bahasa Inggeris), Brill, dicapai pada 16 November 2023
  16. ^ Sulimirski, T. (1985). "The Scyths" dalam: Fisher, W. B. (Ed.) The Cambridge History of Iran, Vol. 2: The Median and Achaemenian Periods. Cambridge: Cambridge University Press. ISBN 0-521-20091-1. ms. 158–159.
  17. ^ Foltz, Richard (2019). "Scythian Neo-Paganism in the Caucasus: The Ossetian Uatsdin as a 'Nature Religion'". Journal for the Study of Religion, Nature, and Culture. 13 (3): 314–332. doi:10.1558/jsrnc.39114. S2CID 213692638.

Sumber umum dan dipetik

sunting

Pautan luar

sunting